Graduan Jadi Usahawan Kuih

MENJUAL kuah rojak, makanan ringan serta produk pertanian di pasar tani pada tahun 1990-an merupakan titik permulaan bagi Punari @Zainudin Salleh, 59, membina empayar perniagaannya.

“Ketika mula-mula menceburi perniagaan pasar tani saya hanya memikirkan mencari rezeki untuk keluarga,” katanya ketika ditemui di premisnya di Sungai Leman, Sekinchan, Selangor.

Sebelum berjinak-jinak dengan dunia perniagaan dia pernah bekerja sebagai buruh di Singapura dan berkebun.

Matlamatnya hanya satu, untuk mencari rezeki bagi anak-anak dan isteri.

Kini, selepas lebih 10 tahun berkecimpung dengan perniagaan kecil-kecilan, akhirnya dengan bantuan dan galakkan isteri Mastura Senon, dia berjaya membina empayar MHP Enterprise.


Menggunakan jenama Masri, gabungan nama suami isteri Mastura dan Punari – memberikan tuah kepada Punari sehingga produknya berjaya mendapat tempat di rak-rak di pasar raya besar seperti Giant.

Sebagai pengasas, Punari memulakan usaha kecil membangunkan MHP Enterprise hanya dengan modal RM10,000.

“Siapa sangka produk yang bersifat kampung seperti kerepek, baulu, rempeyek dan biskut tradisional mempunyai potensi yang cukup tinggi dan unik di pasaran,” katanya.

Ini yang menjadi kekuatan awal kepada syarikatnya dalam ruang modal yang terbatas dan infrastruktur serba sederhana menjadi kuat daripada semasa ke semasa.

Bagaimanapun, tidak mahu terlalu lama mengetuai MHP Enterprise, Punari memberikan sepenuh kepercayaan kepada anak sulungnya, Musleha Punari.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Perniagaan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Musleha berjaya membawa pelbagai peningkatan kepada produk jenama Masri dan MHP Enterprise.

Sebagai pengurus MHP Enterprise, Musleha berjaya melonjakkan jualan kasar selain mendapat pengiktirafan halal daripada Majlis Agama Islam Selangor dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam usaha membawa produk syarikat ke pasaran yang lebih luas.

“Pada mulanya saya menangis apabila ayah memberikan tanggungjawab menguruskan MHP Enterprise.

“Mana tidaknya, dengan kelulusan yang ada tentu saja saya berpeluang menjawat jawatan lebih baik di syarikat antarabangsa,” katanya.

Mendapat pelbagai anugerah dan pengiktirafan MHP Enterprise kini mempunyai 40 orang pekerja tetap dan sementara.

Bukan itu saja, kini MHP Enterprise juga menjadi pusat jualan untuk produk-produk makanan ringan tradisional yang diusahakan oleh penduduk sekitar.

Kini MHP Enterprise banyak menerima pelawat yang menginap di hotel dan inap desa sekitar Kuala Selangor, Sekinchan dan kawasan sekitarnya selain peserta kursus dari agensi kerajaan dan swasta.

“Kami juga menerima delegasi dan pelancong asing seperti Iran, Belanda, Indonesia, Perancis, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Nepal, Filipina, Singapura, Myanmar, Brunei dan Thailand,” kata Musleha.

MHP Enterprise akan terus memandang ke hadapan dan disasarkan selepas ini, syarikat terbabit akan mengembangkan perusahaannya dengan mewujudkan lebih banyak cawangan. Di samping peningkatan kualiti terhadap produk melalui kerjasama penyelidikan bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Sirim Berhad dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di harap produk selepas ini boleh menembusi dan bersaing di pasaran global pula.