Setelah berjaya dalam bidang penternakan kambing Boer, melibatkan diri dalam membangunkan usahawan ternakan serta kedai berasaskan daging, kini Nordin Mat melangkah setapak lagi dengan memulakan kursus perniagaan kedai daging secara komersial.
Selaku Pengarah KMJ Supplies Sdn. Bhd., Nordin berkata, kedai daging dengan jenama Perfect Fresh & Frozen telah mula mengadakan kursus setiap bulan bagi yang berminat memulakan perniagaan kedai daging mereka sendiri.
“Program yang lepas adalah dengan kerjasama dengan Mara berkonsepkan mentor mentee dengan Perfect Fresh & Frozen bertindak sebagai mentor.
“Di bawah Program Usahawan Bumiputera MARA, seramai 50 peserta telah disaring sebelum memilih 10 orang dan daripada itu hanya lima orang telah dipilih untuk memulakan kedai mereka masing masing,” katanya ditemui semasa sesi latihan kursus memulakan kedai daging secara komersial di premisnya di Kajang, Selangor.
Katanya, ini merupakan salah satu cara untuk mentee membangunkan sebuah kedai daging dengan bantuan mentor.
“Sebagai mentor, kami memberikan komitmen dari A hingga ke Z, bermula dengan bagaimana untuk memulakan sehingga menjalankan perniagaan,” katanya.
Nordin menambah, kedai daging ini dijangka akan dapat membantu individu yang terlibat dalam penternakan memandangkan outletnya menjual pelbagai jenis produk seperti daging kambing, lembu, rusa, arnab, burung unta, burung puyuh, ayam kampung dan sebagainya.
Kursus berkenaan mengambil masa tujuh hari menggunakan tenaga pengajar profesional bagi memantapkan lagi kefahaman peserta.
“Mereka juga digalakkan menjalankan trial and error sendiri sehingga mereka benar-benar boleh menyelesaikan masalah mereka sendiri,” katanya.
Peserta juga akan diajar melayan pelanggan dengan memberikan seberapa banyak banyak maklumat mengenai potongan daging, kesesuaian dan juga resipi.
Pelanggan juga diberikan tip memilih serta penjagaan daging serta masakan yang sesuai.
Cara ini bukan saja dapat menambahkan pengetahuan pelanggan tetapi juga memberikan pilihan kepada pelanggan untuk datang lagi ke kedai berkenaan.
Apa kata peserta
Bertugas sebagai kontraktor selama 22 tahun, Hasnul Badaruddin, 42, melihat industri makanan mempunyai potensi yang besar semasa ambang kemelesetan ekonomi.
“Saya telah menjalankan tinjauan di Taman Permata, Hulu Kelang dan Bandar Sri Damansara dan mendapati permintaan terhadap produk makanan adalah tinggi.
“Selain ini industri berkenaan juga mengeluarkan produk berasaskan daging yang suci, sihat dan halal,” katanya yang bercadang untuk membuka kedai daging di Taman Permata menjelang Mac ini.
Beliau yang datang menjalani kursus berkenaan dengan anak perempuannya, Siti Norsalsabila, 18, berkata, kursus yang diikuti akan menjadi galakan untuk anaknya memulakan perniagaan.
Sementara suri rumah, Norainon Aiman, 39, mendapat dorongan suami bagi menghadiri kursus berkenaan.
“Pada mulanya saya tidak berminat untuk membuka kedai daging tetapi selepas diberikan pendedahan barulah hati saya terbuka,” katanya.
Beliau menambah, latihan yang disertai memberikan banyak ilmu yang bermanfaat mengenai keratan daging. “Buat masa ini saya amat yakin dan merancang untuk membuka kedai di Shah Alam selewat-lewatnya Mac ini,” katanya yang tinggal di Beranang, Selangor.